Sunday 24 January 2016

Perpaduan Mewujudkan Keharmonian Negara

Perpaduan sudah lama terjalin dalam kehidupan seharian kita sebagai rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi selepas Sabah dan Sarawak bersatu dengan Tanah Melayu. Nilai kesepaduan bercambah walaupun banyak perbezaan ketara antara rakyat dalam segenap lapisan meliputi aspek kebudayaan, bahasa ibunda, kepercayaan dan sebagainya.


Kehidupan ketika ini semakin mencabar dengan pelbagai konflik dalaman dan luaran dan ia mampu menyebabkan seseorang individu alpa dan tidak menyelami semangat kesepaduan yang sudah lama kita junjung.



Perpaduan atau dengan kata lain sepakat boleh dicapai secara langsung atau tidak langsung. Sikap saling hormat menghormati adalah formula yang paling berkesan supaya kita dapat meneruskan hari-hari dipenuhi dengan suasana harmoni.



Melihat kepada landskap pembentukan negara Malaysia, kita terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Inilah lakaran kepada apa yang kita ada hari ni – orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dayak, dan kaum-kaum lain.



Kita dapat lihat apabila kita bersama untuk satu tujuan serupa, kesepaduan terjalin dengan sendirinya tidak kira menerusi pendidikan, atau apa saja yang mahu dicapai secara sebulat suara akan dapat dilaksanakan.



Mengambil contoh saya sendiri yang berasal dari Sarawak, dan menuntut ilmu di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina yang mana masyarakat Melayu serta kaum lain-lain adalah minoriti di institusi berkenaan. Kami belajar dalam keadaan yang amat selesa dan tiada diskriminasi berlaku sepanjang tempoh belajar sehingga kini. Hubungan yang dibina terjalin mesra sehinggakan pada waktu bukan perayaan, kami meluangkan waktu bersama-sama di rumah masing-masing. Hari sukan adalah waktu yang paling kami nanti-nantikan kerana di situ kami dapat meluangkan masa sebaik-baiknya kerana waktu tidak terhad kepada dalam kelas sahaja.



Selain itu, waktu perhimpunan juga bukanlah sesi yang mahu dielakkan kerana kami pelajar dapat bergaul dengan baik dan di situlah antara detik perkenalan dengan lebih ramai kawan-kawan berlainan bangsa.



Jika ia dapat diaplikasikan kepada kelompok yang lebih dewasa dalam situasi pekerjaan dan di kawasan kejiranan hari ini, sudah pasti semangat kesepaduan akan mudah dirasai. Tidak dinafikan, kita sibuk dengan rutin harian termasuk pekerjaan dan aktiviti sosial yang bersangkut paut dengan tugas hakiki sama ada sebagai penjawat awam, swasta mahu pun perniagaan sendiri.



Ramai berfikiran bahawa waktu berkualiti bersama keluarga adalah saat-saat yang paling penting dan tidak melihat detik bersama jiran tetangga juga adalah perkara mustahak. Bukan saja dari segi menjaga kebajikan dan keselamatan kawasan kejiranan tetapi aktiviti bersosial bersama mereka juga amat penting. Jika berlaku salah faham, ia tidak perlu dijadikan sebagai penghalang untuk terus menjalin silaturahim.



Dari segi demografi, ramai rakyat dari pelbagai negeri berhijrah atas tujuan pendidikan dan pekerjaan. Kita dapat melihat penerimaan masyarakat setempat amatlah terbuka dan tiada halangan bagi kita untuk bersama-sama mereka dalam menjalani apa-apa bentuk aktiviti dan keramaian sekalipun.



Dari situ terbentuklah perkahwinan antara dua benua atau berlainan negeri. Jika diimbas semula, ada keluarga bermasyarakat Cina yang melangsungkan perkahwinan menerusi adat Melayu. Pasangan pengantin Tionghua mencetuskan kejutan manis di kalangan penduduk Kampung Alor Rambai, Kepala Batas apabila mereka memilih konsep perkahwinan Melayu bagi meraikan saat-saat bahagia mereka. Ini membuktikan bahawa kita mempunyai persefahaman yang unik.



Perkahwinan antara individu dari Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak juga adalah antara pengikat nilai kesepaduan yang tinggi kerana pembinaan hubungan kekeluargaan dapat membentuk perasaan saling sayang- menyayangi dan bersepakat.



Sikap toleransi yang tinggi dapat membawa kepada persefahaman yang mendalam dan sudah pasti akan dapat mengelakkan tohmahan serta tuduhan yang berbaur perkauman.



Apa yang kita dapat lihat hari ini adalah sikap toleransi yang semakin terhakis apabila ramai pengguna media sosial melampiaskan kemarahan atau perasaan tidak puas hati dengan menjadikan perbezaan agama, kepercayaan dan latar belakang negeri sebagai senjata. Ingatlah bahawa lidah lebih tajam daripada segala medium yang lain. Terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata binasalah kesepaduan kita.



Sebagai contoh, kes kontroversi pengguna media sosial seperti Alvin Tan dan yang seangkatan dengannya harus ditolak ke tepi. Apa yang disajikan melalui laman mereka bukanlah teladan yang baik dan tidak patut dijadikan api dan menyalakan bara dendam dalam kalangan masyarakat kita.



Jika perkara sebegini tidak dibendung, apakah yang akan terjadi kepada kita? Mahukah kita berperang sesama sendiri atau perlukah kerajaan mewujudkan dasar berat sebelah seperti ‘Dasar Aparteid’ yang pernah dilaksanakan di Afrika Selatan? Tepuk dada dan tanya minda kita masing-masing, di manakah letaknya kita dan apa bentuk imej yang mahu kita tonjolkan kepada masyarakat dunia.



Tiba masanya untuk kita sisihkan perbezaan yang ada, untuk kita mengingati dan menghargai kembali nikmat kita lahir di bumi bertuah Malaysia yang mempunyai kepelbagaian budaya, agama dan bangsa. Tiada tempat lain di dunia seperti Malaysia.




Kredit: Sharifah Izora binti Syed Sobre



1 comment:

  1. No Deposit Bonus Codes 2021 | Casino Bonuses and Free Spins
    No Deposit 바퀴벌레 포커 Bonus Code 2021 | 바카라 규칙 Best 22bet no deposit casino bonuses. Our 점심 메뉴 룰렛 #1 guide to no deposit bonus 시스템 배팅 codes for December 2021.

    ReplyDelete